Axelsen, Yamaguchi pemain terbaik BWF

Viktor Axelsen Kredit foto: BWF
06/12/2022 11:32 AM

BANGKOK, 5 Dis (Bernama) -- Juara Olimpik dan dunia Viktor Axelsen dinobatkan Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada majlis makan malam gala Jelajah Dunia Akhir BWF di sini malam ini.

Pemain nombor satu dunia dari Denmark itu mengetepikan dua lagi pemain perseorangan iaitu juara dunia 2021 Loh Kean Yew dari Singapura dan pemain perseorangan negara yang juga nombor dua dunia, Lee Zii Jia.

Juara dunia wanita dari Jepun Akane Yamaguchi memenangi Anugerah Pemain Wanita Terbaik manakala beregu campuran dari China Zheng Siwei-Huang Yaqiong dianugerahkan Beregu Terbaik.

Akane Yamaguchi Kredit foto: BWF

Anugerah tahunan sempena majlis makan malam gala Jelajah Dunia Akhir BWF 2022 itu diadakan bagi mengiktiraf prestasi pemain pada musim 2021/2022.

Pemain perseorangan lelaki muda dari Jepun Kodai Naraoka menerima Anugerah Eddy Choong untuk Pemain Paling Berbakat manakala gandingan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia pula meraih Anugerah Pemain Paling Meningkat.

Sementara itu bagi kategori badminton para pula, Daiki Kajiwara (berkerusi roda 2) dari Jepun dan juara dunia perseorangan wanita SU5 Manisha Ramadass dari India dinamakan Pemain Para Terbaik, masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita.

Huang Yaqiong and Zheng Siwei (dari kiri) Kredit foto: BWF

Pasangan dari Jerman Rick Hellmann-Thomas Wandschneider pula memenangi Anugerah Beregu Para Terbaik.

Menurut BWF, calon-calon dipilih berdasarkan prestasi pemain pada musim 2021/2022 bermula 1 Nov 2021 hingga 31 Okt 2022 dengan mengiktiraf pencapaian pemain elit serta para bagi perseorangan dan beregu dalam lapan kategori.

-- BERNAMA 

Muhammad Rian Ardianto and Fajar Alfian (dari kiri). Kredit foto: BWF