BERNAMA BAKAL SAJIKAN LIPUTAN KOMPREHENSIF SKUAD BADMINTON NEGARA DI CHENGDU

25/04/2024 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bakal meneruskan kesinambungan merakam satu lagi detik penting sukan tanah air menerusi laporan berita terkini saingan Piala Thomas dan Uber 2024 di Chengdu, China bermula Sabtu ini.

Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj berkata sebagai agensi berita nasional, Bernama tidak pernah ketinggalan dalam membuat liputan kejohanan badminton berpasukan dunia tersebut dengan edisi kali ini bakal berlangsung di Chengdu High-Tech Zone Sports Center.

“Piala Thomas dan Uber sememangnya merupakan antara kejohanan yang sering menjadi tumpuan peminat sukan tanah air.

Arul Rajoo Durar Raj

“Menyedari hakikat tersebut, Bernama pastinya tidak mahu ketinggalan menyajikan satu lagi laporan komprehensif pasukan badminton kebangsaan selain laporan pasukan negara lain pada saingan kali ini di Chengdu untuk sajian peminat sukan tempatan,” katanya.

Perkembangan terkini kejohanan berprestij itu boleh dilayari menerusi semua platform agensi tersebut termasuk Bernama TV, Bernama Radio serta media sosial, selain menerusi laman khas https://thomasuber.bernama.com.

Wartawan sukan Amiril Muttaqien Meketar dan jurugambar Mohd Nazirul Mohamed Roselan ditugaskan untuk menyalurkan laporan semasa aksi di Chengdu dan kedua-dua mereka dijangka berada di sana hampir dua minggu sehingga kejohanan berakhir pada 5 Mei ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertaruhkan Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei, Justin Hoh, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian bagi membawa cabaran negara ke Piala Thomas 2024, yang diundi dalam Kumpulan D bersama jaguh Eropah yang juga juara 2016 Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Bagi saingan Piala Uber 2024, skuad terdiri daripada Goh Jin Wei, K. Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi, Go Pei Kee, Tan Zhing Yi, Ho Le Ee dan Chan Wen Tse, bakal berdepan tugas berat apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Taiwan dan Australia.

Malaysia pernah menjulang kejuaraan Piala Thomas lima kali dengan kali terakhir pada edisi 1992 di ibu negara.

Bagaimanapun, skuad wanita negara belum pernah memenangi Piala Uber dengan pencapaian terbaik layak tiga kali ke peringkat suku akhir bagi edisi 2004, 2008 dan 2010.

Sebelum ini, Bernama menyajikan liputan perjalanan skuad Harimau Malaya pada Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari lepas.

-- BERNAMA