SZE FEI RASA LEBIH BERTANGGUNGJAWAB PAMER AKSI TERBAIK DI CHENGDU

Goh Sze Fei (kiri) dan Nur Izzuddin Mohd Rumsani.
23/04/2024 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Pemain beregu lelaki negara Goh Sze Fei mengakui berasa lebih bertanggungjawab untuk mempersembahkan aksi terbaik pada saingan Piala Thomas 2024 yang bermula hujung minggu ini di Chengdu, China.

Atlet dari Melaka berusia 26 tahun itu bersama pasangan beregunya Nur Izzudin Rumsani bakal turun sebagai beregu kedua negara pada kejohanan badminton berpasukan tersebut.

Menduduki ranking ke-15 dunia, gandingan itu dilihat memikul beban lebih berat untuk menyumbang mata kepada skuad negara selepas beregu utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik (kelima) dan perseorangan profesional Lee Zii Jia (ke-10).

“Selepas BAC, kejohanan seterusnya ialah Piala Thomas, acara berpasukan, jadi saya rasa lebih (besar) tanggungjawab bukan sahaja untuk kami malah semua orang...tanggungjawab pada pasukan," katanya kepada pemberita di ABM di sini hari ini.

Meskipun dilanda kemelut tahun lepas sehingga dipisahkan sementara oleh Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky, pasangan itu berjaya kembali lebih 'garang' setelah digabungkan semula.

Sze Fei dan Nur Izzudin berada pada prestasi memberangsangkan ketika ini dengan mencatat beberapa kejayaan termasuk menjuarai Masters Abu Dhabi 2023, Masters Kaohsiung 2023 dan Terbuka Amerika Syarikat 2023 serta terbaharu muncul naib juara Kejohanan Badminton Asia (BAC).

Mereka diharap dapat mengekalkan momentum kejayaan itu bagi membantu pasukan negara di Chengdu, sekali gus mengimbangi kekurangan kem perseorangan negara yang kecuali Zii Jia, rata-rata pemain berada pada kedudukan bawah ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

BAM menyenaraikan Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei, Justin Hoh, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian bagi membawa cabaran negara ke Piala Thomas 2024. 

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama jaguh Eropah yang juga juara 2016 Denmark, Hong Kong dan Algeria.

-- BERNAMA