RASHID HARAPKAN JUARA DUNIA SEBAGAI HADIAH HARI KEBANGSAAN KE-65

25/08/2022 04:11 PM

PUTRAJAYA, 25 Ogos (Bernama) -- Legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek berharap skuad badminton negara dapat mencipta kejayaan di Kejohanan Dunia yang sedang berlangsung di Tokyo sebagai hadiah hari kebangsaan ke-65 minggu depan.

Bekas pemenang pingat gangsa Olimpik Atlanta 1996 dan pemenang Piala Thomas 1992 itu, berkata beberapa pemain seperti perseorangan utama Lee Zii Jia berada pada tahap terbaik untuk menamatkan penantian juara dunia pertama dari Malaysia.

“Saya lihat Zii Jia dalam kondisi yang agak baik dan dahaga (untuk kejuaraan), dua perlawanan lepas beliau menang senang. Harap beliau dapat teruskan momentum itu.

“Saya harap semua pemain Malaysia buat yang terbaik, bermain bersungguh-sungguh supaya Malaysia akan ada juara dunia pada minggu ini,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran IOI Sports Centre di IOI City Mall di sini hari ini.

Malaysia masih belum mampu merasai kejayaan di pentas Kejohanan Dunia walaupun wakil negara pernah meraih perak sebanyak lapan kali.

Pemain perseorangan lelaki Datuk Lee Chong Wei adalah pemain paling cemerlang apabila meraih tiga perak pada 2011, 2013 dan 2015, manakala peraknya pada edisi 2014 dibatalkan kerana kesalahan doping, selain Wong Choong Hann, yang kini pengarah kejurulatihan perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut mara ke final pada 2003.

Malaysia pernah muncul naib juara beregu lelaki sebanyak empat kali menerusi Datuk Razif Sidek-Datuk Seri Jailani Sidek (1987), Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang (1993), Soon Kit-Yap Kim Hock (1997) dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (2010).

Pada Kejohanan Dunia yang sedang berlangsung di Tokyo Metropolitan Gymnasium, Jepun, Zii Jia mengetuai cabaran negara ke pusingan ketiga berlangsung hari ini, termasuk beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (beregu campuran).

Selain itu, Rashid turut meletakkan harapan supaya skuad negara mampu menamatkan penantian 30 tahun untuk menjulang Piala Thomas pada edisi seterusnya, selepas kali terakhir dimenangi pada 1992.

Beliau optimis bahawa Malaysia mempunyai barisan perseorangan dan beregu berpotensi meraih gelaran Piala Thomas yang keenam selepas kejayaan tiga edisi terawal pada 1949, 1952 dan 1955, serta kemenangan edisi 1967 dan 1992.

“Kenangan julang Piala Thomas itu masih tersemat dalam fikiran saya...Saya berharap dalam masa terdekat ini, Malaysia mampu menjadi juara Piala Thomas ini kerana sekarang rata-rata pemain berpotensi, ada kemahiran dan stabil, cuma mereka nak laksanakan macam mana, perlu bersedia dari segi mental dan fizikal,” jelasnya.

-- BERNAMA