MOMOTA MAHU JULANG PIALA THOMAS SEBAGAI HADIAH PERSARAAN

Pemain badminton perseorangan lelaki Jepun, Kento Momota ketika ditemui media selepas sesi latihan sempena Kejohanan Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, Chengdu hari ini. -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
26/04/2024 06:43 PM
Daripada:
Amiril Muttaqien Meketar
Mohd Nazirul Mohamed Roselan (pix)
26/04/2024 06:43 PM

CHENGDU, 26 April (Bernama) -- Juara dunia dua kali dari Jepun, Kento Momota mahu meninggalkan arena sukan badminton antarabangsa dengan membantu negaranya menjulang Piala Thomas 2024 di Chengdu, China.

Meskipun hanya tersenarai sebagai pemain perseorangan ketiga, Momota yang merupakan sebahagian daripada pasukan Jepun menjulang Piala Thomas pada 2014, tidak sabar membantu negaranya meraih kejuaraan kali kedua dalam kejohanan di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone bermula esok hingga 5 Mei.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata tugas selaku perseorangan ketiga juga penting kerana ia akan menentukan nasib pasukan sama ada menyumbang mata kemenangan atau berdepan kekalahan.

"Saya mahu bermain dan mendapatkan hasil terbaik di sini. Sudah tentu saya ingin menjulang Piala Thomas dalam kejohanan antarabangsa terakhir saya," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.

Jepun dijangka mendominasi Kumpulan B yang turut menampilkan Taiwan, Jerman dan Republik Czech.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir.

Ditanya mengenai rancangan persaraan, Momota berkata beliau akan menumpukan kepada pertandingan domestik di negara matahari terbit itu dalam usaha memberikan inspirasi kepada pemain muda untuk mengikut jejak langkahnya.

Pada 18 April lepas, Momota mengumumkan persaraan selepas mengakui prestasinya tidak lagi sama sejak kemalangan kereta di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) pada awal 2020.

Walaupun menjalani latihan fizikal ekstensif selepas kemalangan itu, Momota mengakui sukar baginya untuk kembali ke tahap terbaik.

Pada kemuncak kerjayanya, Momota memenangi 11 gelaran termasuk kejuaraan dunia di Basel, Switzerland pada 2019.

Kecemerlangannya pada 2019 membolehkannya diiktiraf Guinness World Records sebagai perseorangan lelaki dengan kejuaraan terbanyak dalam satu musim.

-- BERNAMA