PIALA THOMAS: 30 TAHUN DAN MASIH MENGHITUNG...

Trofi Piala Thomas
16/05/2022 04:21 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 16 Mei (Bernama) -- Ia adalah detik yang mengecewakan bagi Malaysia.

Sebaik sahaja bekas pemain perseorangan ketiga India Prannoy H.S. memberikan mata kemenangan, hasil pukulan kencangnya di sebelah kanan pemain muda kebangsaan, Leong Jun Hao, seluruh negara benar-benar tergamam dengan kekalahan Malaysia 2-3 di tangan India dalam perlawanan suku akhir Piala Thomas 2022 di sini.

Selepas berjaya menyingkirkan England dan Amerika Syarikat dengan kemenangan 5-0, yang secara automatik membantu Malaysia layak ke suku akhir, ramai yang ragu-ragu dengan keupayaan pasukan negara untuk menewaskan juara 2014 dan pilihan utama, Jepun, dalam perlawanan terakhir untuk menentukan juara Kumpulan D.

Dan mereka berjaya melepasi halangan itu dengan cemerlang, mengetepikan Jepun 3-2 untuk menjuarai Kumpulan D, Rabu lepas.

Rakyat Malaysia sangat teruja dan keyakinan mula memuncak bahawa ini mungkin masa yang sesuai untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 30 tahun sejak kali terakhir pasukan negara memenangi Piala Thomas pada 1992 di Kuala Lumpur.

Malangnya impian kita ranap dalam tempoh yang singkat, Malaysia kecundang  di tangan juara bertahan India, sehari kemudian.

Kebanyakan peminat percaya Malaysia berupaya untuk memenangi perlawanan itu sekiranya mereka menggunakan strategi yang betul, terutama dalam acara beregu, kerana ia adalah kelebihan yang dimiliki pasukan kebangsaan berbanding kem perseorangan, kecuali Lee Zii Jia.

Ramai membangkitkan persoalan mengapa beregu nombor 13 dunia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dipilih sebagai beregu utama menentang Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty sebelum gandingan Malaysia itu tewas 19-21, 15-21.

Selepas ketinggalan 0-1, kemenangan Satwiksairaj-Chirag telah memberikan inspirasi kepada India untuk mengejutkan Malaysia dan selebihnya menjadi sejarah.

Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky berkata beliau mahu mengekalkan momentum  itu selepas Sze Fei-Nur Izzuddin berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah termasuk mengejutkan pasangan nombor empat dunia Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 21-19, 21-16, sebelum mereka tewas kepada Satwiksairaj-Chirag.

Mungkin, sangkaan Rexy betul kerana dia lebih bijak menilai anak didiknya.

Satu perkara yang perlu diterapkan pemain Malaysia ialah mereka mesti mempunyai semangat juang yang tinggi seperti pasukan India, yang mendorong mereka untuk menjulang Piala Thomas sulung mereka di Impact Arena, di sini.

Malah pasukan bukan pilihan India membuktikan berjaya melepasi halangan itu apabila menyingkirkan juara 2016, Denmark 3-2 pada separuh akhir dan juara 14 kali Indonesia 3-0 untuk mengakhiri kisah dongeng mereka dengan magis.

Sehubungan itu, Pengarah Prestasi Tinggi BAM Dr Tim Jones berkata tidak semua keadaan latihan gigih terpakai sebaliknya pemain harus lebih bijak untuk menangani emosi dan tekanan tinggi ketika berada di gelanggang. 

Selain kekalahan Sze Fei-Nur Izzuddin di tangan Satwiksairaj-Chirag, kredit harus diberikan kepada Rexy kerana beregu itu mempamerkan aksi yang sangat baik termasuk taktiknya menurunkan Kapten pasukan Aaron Chia untuk membentuk gandingan dengan Teo Ee Yi dua kali, menentang Jepun dan India, yang membuahkan hasil.

Pasangan beregu negara berjaya memenangi tujuh daripada lawan perlawanan yang dipertandingkan di sini manakala terdapat banyak ruang yang boleh diperbaiki untuk kem perseorangan kerana kekurangan pemain dalam pasukan sekarang. 

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM Wong Choong Hann menegaskan kekecewaan di Thailand sudah pasti telah membuka mata pemainnya bahawa mereka mesti mempunyai kekuatan yang hebat untuk menempuh perlawanan di peringkat tinggi ini.

Pasukan perseorangan Malaysia mencatat lapan kemenangan daripada 12 perlawanan sepanjang kejohanan itu. 

Sebaliknya, prestasi Zii Jia telah bertambah baik apabila berjaya mengetepikan pemain nombor dua dunia, Kento Momota 21-17, 21-8 di peringkat kumpulan dan Naib Juara All England 2022, Laksya Sen 23-21, 21-9, pada suku akhir.

Sekiranya Zii Jia berjaya mengekakalkan momentum ini, sudah pasti kejayaan lebih besar menantinya termasuk berpeluang muncul sebagai pemain Malaysia pertama mendapat gelaran Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dijadual berlangsung di Tokyo, pada Ogos.

Walaupun Malaysia kecundang di Thailand, Choong Hann percaya pasukan kebangsaan akan bangkit lebih kuat pada edisi seterusnya di Chengdu, China, dua tahun dari sekarang.

Penantian Malaysia untuk menjulang Piala Thomas masih lagi berterusan...

-- BERNAMA