SUKAN PARALIMPIK 2024: ABDUL LATIF PERLU WASPADA CABARAN ATLET KANADA, COLOMBIA

Atlet olahraga Datuk Abdul Latif Romly --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
11/04/2024 12:23 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Jaguh olahraga para negara Datuk Abdul Latif Romly perlu terus memberi fokus dan tidak memandang rendah kelibat Noah Vucsics dari Kanada, serta wakil Colombia Jhon Sebastian Obando Asprilla, pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris.

Jurulatihnya Shahrul Amri Suhaimi berkata ini kerana Vucsics dan Jhon Sebastian mampu memberi tentangan sengit kepada anak buahnya, yang dalam usaha mengintai peluang melakar kejayaan ‘hatrik’ merangkul emas pada temasya sukan berprestij dunia itu, dijadual berlangsung dari 28 Ogos-8 Sept ini.

“Prestasi kedua-dua pencabar Abdul Latif itu didapati semakin meningkat sejak kebelakangan ini, dengan Vucsics merekodkan lompatan 7.35 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Paris, manakala wakil Colombia itu pula mencatat lompatan sejauh 7.22m pada sebuah kejohanan di Santiago, Chile, tahun lepas.

“Walaupun Abdul Latif kekal mendahului ranking tahun lepas dengan lompatan 7.40m pada kejohanan dunia di Paris, beliau tidak boleh terlalu yakin dan perlu kekal tenang ketika beraksi pada Sukan Paralimpik 2024 nanti,” katanya kepada Bernama.

Shahrul Amri juga, tidak mahu Abdul Latif mengalami kecederaan sewaktu pertandingan yang boleh mengundang padah kepadanya, jika tidak berjaya melengkapkan lompatan di Paris 2024.

Jurulatih berusia 40 tahun itu berkata anak buahnya perlu berhati-hati, dengan mengurangkan kesilapan ketika melompat sekali gus mengelak kecederaan lama di pangkal pahanya berulang.

Pemegang rekod dunia dengan lompatan sejauh 7.64m pada Sukan Para Asia 2018 di Indonesia itu, sebelum ini gagal melengkapkan saingan susulan kecederaan tersebut pada dua acara besar, iaitu Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo serta Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Paris.

“Abdul Latif seorang pejuang, dia akan berjuang habis-habisan untuk habiskan lompatan, namun saya harap kecederaan dia tidak berulang, jika terjadi sangat rugi baginya,” katanya.

Biarpun tidak berupaya melengkapkan enam lompatan keseluruhan, Abdul Latif tetap unggul merangkul emas di Tokyo 2020 selepas membuat lima kali lompatan dan turut muncul juara walaupun dengan hanya dua percubaan di Paris.

Shahrul Amri berkata atlet berusia 27 tahun itu, dijangka berada di Jerman selama sebulan bagi menyertai tiga kejohanan bersama atlet normal pada Jun ini, selepas Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun yang bermula 17 hingga 25 Mei ini.

Selepas tiga aksi di Jerman, beliau berkata atlet dari Perlis itu dijangka menjalani persiapan akhir di dalam negara, sebelum turun berjuang memburu kejayaan pada Sukan Paralimpik 2024.

-- BERNAMA