PIALA UBER: TZU YING BERIKRAR ULANGI PENCAPAIAN 2006

Tai Tzu Ying
28/04/2024 11:09 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

CHENGDU, 28 April (Bernama) -- Pemain badminton handalan Taiwan, Tai Tzu Ying, yang merupakan pemain perseorangan wanita paling berjaya di negara itu berkata memenangi pingat Piala Uber amat bermakna buat dirinya sebelum bersara akhir tahun ini.

Tzu Ying berikrar membantu Taiwan melangkah ke peringkat separuh akhir dalam penampilan terakhirnya di kejohanan Piala Uber di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone di sini.

"Taiwan sudah beberapa kali melangkah ke peringkat lapan terakhir namun saya harap kami dapat ke separuh akhir sekali lagi selepas edisi 2006," katanya kepada pemberita di zon campuran hari ini.

Edisi 2006 menampilkan aksi terbaik Taiwan dalam acara berpasukan pada kejohanan badminton paling berprestij di dunia itu.

Sejak itu, Taiwan tidak pernah ketinggalan untuk mara ke peringkat lapan terakhir kecuali pada edisi 2014 selepas ia tersingkir di peringkat kumpulan, yang juga merupakan keputusan terburuknya dalam Piala Uber.

Tzu Ying telah merangkul pelbagai gelaran dan pingat termasuk perak Sukan Olimpik 2020, dua pingat Kejohanan Dunia dan 17 gelaran Jelajah Dunia setakat ini.

Awal hari ini, pemain nombor lima dunia itu menang dalam pertarungan sengit menentang pemain Malaysia, Goh Jin Wei 21-19, 22-20 untuk memberi mata pertama buat Taiwan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala Uber 2024.

Pemain berusia 29 tahun itu turut memuji Jin Wei kerana memberi tentangan sengit yang turut membantu beliau sebagai pemanas badan yang baik sebelum berkemungkinan bertembung pemain utama Thailand, Ratchanok Intanon, pada perlawanan terakhir Kumpulan B Rabu ini.

“Jin Wei sangat bagus di depan jaring. Saya juga belum putuskan sama ada beraksi atau tidak dalam perlawanan menentang Australia esok. Saya akan bincang dengan jurulatih mengenai perkara itu,” katanya.

Taiwan membuka kempen Kumpulan B dengan kemenangan 4-1 ke atas Malaysia manakala Thailand membelasah Australia 5-0.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir.

-- BERNAMA