PIALA THOMAS: JANGAN PANDANG MUDAH MALAYSIA - ANTONSEN

Aksi pemain perseorangan lelaki Denmak Anders Antonsen ketika menentang pemain Algeria Youcef Sabri Medel dalam saingan Kumpulan D Kejohanan Badminton Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone, hari ini. Keputusan perlawanan Anders Antonsen menang 21-13 dan 21-12. -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
27/04/2024 07:46 PM
Daripada:
Amiril Muttaqien Meketar
Mohd Nazirul Mohamed Roselan (pix)
27/04/2024 07:46 PM

CHENGDU, 27 April (Bernama) -- Pemain perseorangan  kedua Denmark, Anders Antonsen berharap rakan sepasukannya tidak memandang rendah ‘ancaman’ Malaysia menjelang pertemuan terakhir Kumpulan D pada saingan Piala Thomas 2024 di sini, Selasa ini.

Walaupun Malaysia membariskan skuad perseorangan kurang ‘menyengat’, penyandang juara Terbuka Malaysia 2024 itu masih menjangkakan saingan sengit pada kejohanan kali ini di Pusat Sukan Zon High-Tech Chengdu di sini.

“Saya tidak sabar untuk perlawanan sukar menentang Malaysia dan pasti ia akan menyeronokkan dan kami akan melakukan yang terbaik,” katanya pada sidang media selepas jaguh Eropah 2024 itu dengan mudah membenam Algeria 5-0 pada perlawanan pertama mereka di sini hari ini.

Antonsen  hanya mengambil masa 26 minit untuk menyumbang mata kedua Denmark apabila dengan mudah mengatasi Youcef Sabri  Medel 21-13, 21-12.

Walaupun menang selesa ke atas Sabri, Antonsen, yang kini pemain keempat terbaik dunia,  menyuarakan rasa tidak puas hati dengan prestasinya.

“Sejujurnya, perlawanan hari ini bukanlah aksi terhebat saya dan pastinya perlu bangkit dalam perlawanan seterusnya,” katanya.

Terdahulu, Malaysia turut melakarkan kemenangan 5-0 ke atas Hong Kong pada perlawanan pembukaan.

Esok, Denmark akan menentang Hong Kong pada jam 1 tengah hari manakala Malaysia berdepan Algeria pada jam 6 petang.

Dua pasukan tertas kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir bermula 2 Mei ini.

-- BERNAMA