THOMAS CUP: PERMULAAN CEMERLANG BUAT MALAYSIA

Aksi pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia ketika menentang pemain Hong Kong Lee Cheuk Yiu dalam saingan Kumpulan D Kejohanan Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone hari ini. Zii Jia menang 21-18 dan 21-18. -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
27/04/2024 03:14 PM
Daripada:
Amiril Muttaqien Meketar
Mohd Nazirul Mohamed Roselan (pix)
27/04/2024 03:14 PM

CHENGDU, 27 April (Bernama) -- Malaysia bermula cemerlang pada perlawanan pembukaan Kumpulan D Piala Thomas 2024 mereka, dengan menewaskan Hong Kong 5-0 di Pusat Sukan High-Tech Zone, Chengdu di sini hari ini.

Pemain profesional lelaki negara Lee Zii Jia memulakan rentak kemenangan hari ini selepas berjaya menewaskan pemain nombor 15 dunia Lee Cheuk Yiu, pada set pertama dengan mata 21-18.

Walaupun pada set kedua, Cheuk Yiu kelihatan lebih mengawal perlawanan dan membawa permainan terikat ke 15-15, namun pemain Malaysia berusia 26 tahun itu berjaya meneruskan rentak permainan baiknya dan menang 21-18, serta memberikan mata pertama kepada Malaysia.

Aksi beregu lelaki negara Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik ketika menentang Law Cheuk Him dan Yeung Shing Choidari Hong Kong dalam saingan Kumpulan D Kejohanan Badminton Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zon hari ini. Beregu negara menang dengan 21-16 dan 21-12. -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Juara dunia beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik kemudiannya memberikan mata kedua negara, selepas dengan mudah mengalahkan pasangan Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi 21-16, 21-12 dalam masa 27 minit.

Kemenangan Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik itu memberikan semangat kepada pemain perseorangan kedua negara Leong Jun Hao (ke-37 dunia), untuk mengejutkan pemain ke-27 dunia Angus Ng Ka Long pada pertemuan sulung mereka dalam perlawanan yang berlangsung 61 minit.

Walaupun beliau tewas set pertama 17-21, pemain berasal dari Kuala Lumpur itu melakukan kejutan pada dua set berikutnya dengan menang 21-12, 21-15, dan seterusnya memberikan mata kemenangan 3-0 buat Malaysia.

Aksi pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao ketika menentang pemain Hong Kong Ng Ka Long Angus dalam saingan Kumpulan D Kejohanan Badminton Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone, hari ini. Keputusan perlawanan Leong Jun Hao menang 17-21, 21-12 dan 21-15. -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kemenangan Malaysia itu diteruskan lagi dengan naib juara beregu lelaki Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjadikan kedudukan 4-0 selepas terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan pasangan Reginald Lee-Tang Chun Man, 21-19, 21-18.

Sementara Justin Hoh yang buat pertama kalinya mewakili negara di Piala Thomas, menjadikannya 5-0 selepas terselamat perlawanan tiga set menentang  Chan Yin Chak, 21-17, 19-21 dan 21-17.

Juara lima kali Malaysia, akan layak ke suku akhir sekiranya dapat mengalahkan Algeria pada pertemuan kedua esok, sebelum menamatkan perlawanan dalam Kumpulan D mereka dengan berhadapan juara 2016 Denmark pada Selasa.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke suku akhir.

Kejohanan badminton berpasukan paling berprestij dunia itu akan berlangsung sehingga 5 Mei.

-- BERNAMA