Rtg Sedia Pertimbang Biaya Pemain Badminton Profesional Ke Kejohanan Antarabangsa 

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin ketika sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama pemain badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia di Petaling Jaya.
31/05/2023 11:57 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Jawatankuasa Road To Gold (RTG) sedia mempertimbangkan permintaan pemain badminton profesional yang berada dalam program tersebut untuk pembiayaan bagi menyertai kejohanan antarabangsa sebagai persediaan sebelum ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perkara itu bakal dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa RTG akan datang. 

Beliau berkata jawatankuasa program terbabit turut bakal menyelaraskan segala permintaan lain yang dikemukakan pemain-pemain berkenaan dalam mesyuarat itu. 

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin mengadakan perjumpaan bersama pemain badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia di Petaling Jaya. Turut hadir pengurus Zii Jia, Lee Zii Yii.

“Kita akan selaraskan dalam mesyuarat RTG yang kita atur, saya rasa permintaan Lee Zii Jia (pemain badminton perseorangan lelaki utama negara) sama dengan pemain lain.

“Perkara ini akan diputuskan dalam mesyuarat RTG dan kita juga akan umum apa yang diminta oleh pemain lain,” katanya pada sidang media selepas pertemuan bersama Zii Jia di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata semua pemain yang berada di bawah program RTG bakal menerima layanan sama rata bagi memastikan prestasi mereka dipertingkatkan sebelum ke temasya berprestij itu. 

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin bergambar bersama pemain badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia selepas mengadakan perjumpaan di Petaling Jaya.

Terdahulu, Hamidin berjumpa Zii Jia bagi membincangkan keperluan selain persediaan beliau untuk berentap dalam kejohanan antarabangsa akan datang.

Zii Jia bakal membuat penampilan seterusnya pada kejohanan Terbuka Singapura, minggu hadapan.

Sebelum ini, Zii Jia ditunjukkan jalan keluar awal pada pusingan kedua pada Masters Malaysia selepas ditewaskan wakil Taiwan Lin Chun-Yi 19-21, 21-26, 15-21. 

-- BERNAMA