Masih Boleh Bersabar Dengan Zii Jia - Hamidin

Datuk Hamidin Mohd Amin
29/05/2023 08:47 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin masih menaruh kepercayaan kepada pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dan sedia menunggu detik kebangkitan juara All England 2021 itu pada temasya sukan berprestij tersebut.

Beliau berkata peluang perlu terus diberikan kepada Zii Jia, yang diibaratkan sebagai aset kontinjen negara di Paris, untuk menemui semula rentak kecemerlangan sekali gus keluar daripada fasa prestasi kurang memberangsangkan ketika ini.

“Saya sebagai Ketua Kontinjen masih boleh bersabar, minggu depan saya ada pertemuan dengan dia lagi, beri dia peluang, kadang-kadang pemain ini ada masalah yang perlu diselesaikan. Kita perlu ingat ini aset, bukan senang kita nak gilap aset lain secara tiba-tiba, aset muda mungkin lima tahun lagi.

Lee Zi Jia

“Tetapi kalau sampai satu masa dia tidak boleh buktikan, kita terpaksa buat satu keputusan… saya yakin dia pemain yang bagus,” katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian penajaan antara Milo dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.

Dalam kemas kini ranking dunia terbaharu, Zii Jia yang terkandas di pusingan kedua kejohanan badminton Masters Malaysia baru-baru ini, jatuh dua anak tangga di posisi ke-10 selepas pernah menjadi nombor dua dunia pada Oktober tahun lepas.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata bermula sekarang barisan pemain badminton kebangsaan seharusnya berusaha sekurang-kurangnya mara ke peringkat suku akhir dalam mana-mana kejohanan bagi meraih mata kelayakan ke Paris selain menimba pengalaman beraksi pada tahap yang tinggi.

Pada masa sama, Timbalan Presiden MOM dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu mengingatkan pemain badminton negara yang tidak berada dalam Road To Gold (RTG) masih berpeluang menyertai projek tersebut sekiranya menunjukkan pencapaian positif.

Beliau berkata perkara itu juga memberi mesej kepada barisan pemain sedia ada supaya tidak berasa terlalu selesa dan berisiko digugurkan.

“Macam pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki) dan Ng Tze Yong (perseorangan lelaki) antara yang berpotensi menyingkirkan pemain sedia ada ataupun dimasukkan selepas mencapai kriteria minimum iaitu berada dalam ranking 10 terbaik dunia,” katanya.

Hamidin turut menasihati barisan atlet negara supaya tidak memberi tekanan kepada diri sendiri dengan terlalu memikirkan mengenai memenangi emas di Paris sebaliknya fokus kepada usaha meningkatkan prestasi dalam kejohanan yang bakal disertai.

-- BERNAMA