APG 2023: MALAYSIA SASAR 33 PINGAT EMAS

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia Syahieda Mat Shah ketika Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontijen Malaysia Ke Temasya Sukan Para ASEAN Kali ke-12, Cambodia 2023 di Stadium Bukit Jalil. Turut serta, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim (dua,kanan) dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin (tiga, kiri).
29/05/2023 07:22 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Kontinjen negara menyasarkan 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa pada Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Phnom Penh, Kemboja dari 3 hingga 9 Jun ini.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata sasaran pingat emas yang lebih rendah berbanding pencapaian di Solo, Indonesia tahun lepas, iaitu 36 emas, 20 perak dan 13 gangsa itu adalah realistik, selepas tiga jaguh negara tidak menyertai temasya dwitahunan itu. 

Tiga atlet tersebut ialah pemenang pingat emas Sukan Paralimpik iaitu Datuk Mohd Latif Romly (lompat jauh), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan jaguh badminton para Cheah Liek Hou. 

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin.

Katanya kontinjen negara bakal disertai 144 atlet, dengan 62 atlet atau 43 peratus daripadanya kali pertama menyertai temasya edisi ke-12 itu.

“Bagaimanapun kita yakin mereka mampu menuai lebih pingat daripada sasaran ditetapkan. Dalam menetapkan sasaran pingat kali ini, Majlis Sukan Negara (MSN) dan MPM mengendalikan sesi libat urus bersama persatuan-persatuan sukan kebangsaan yang bertanding di APG kali ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Negara ke APG 2023 yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, di sini hari ini.

Megat D. Shahriman berkata turut diambil kira ialah keputusan negara penganjur untuk tidak menyenaraikan 10 acara daripada dua sukan iaitu memanah dan tenis berkerusi roda yang dilihat mampu menyumbang sekurang-kurangnya tiga emas kepada kontinjen negara jika ia dianjurkan.

Terdahulu, atlet boccia Angeline Melissa Lawas menggalas tugas sebagai pembawa Jalur Gemilang dan atlet renang Muhammad Nur Syaiful Zulkafli membaca ikrar mewakili kontinjen negara.

Megat D. Shahriman berkata kontinjen Malaysia akan mengambil bahagian dalam 13 daripada 14 jenis sukan yang dipertandingkan di Kemboja termasuk satu sukan demo iaitu e-sukan. 

Beliau berkata daripada jumlah itu, Malaysia akan mengambil bahagian dalam 153 acara iaitu 35.66 peratus daripada 429 acara yang dipertandingkan.

“Saya rasa renang dan olahraga (lubuk emas) tapi kita tidak lupakan sukan lain kerana yakin mereka juga mampu membawa pulang pingat. 

“Kita juga tidak anggap penyertaan kami di Kemboja sebagai penebus maruah (kegagalan Malaysia mencapai sasaran di Sukan SEA Kemboja 2023) kerana kami adalah satu dan memenanginya tetap bersama,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Megat D. Shahriman memaklumkan pihaknya bersama-sama sekretariat kontinjen Malaysia dan MSN akan memastikan kebajikan atlet yang menggalas cabaran negara di Kemboja dijaga sebaik mungkin. 

-- BERNAMA