PENYELARAS PROJEK RTG BANTU KENAL PASTI KEPERLUAN ATLET BERPOTENSI KE OLIMPIK PARIS

Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria
13/03/2023 07:34 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Pelantikan Stuart Ramalingam dan Michelle Chai sebagai penyelaras projek “Road To Gold” (RTG) adalah bagi membantu jawatankuasa RTG mengenal pasti keperluan atlet berpotensi ke Sukan Olimpik Paris 2024. 

Pengerusi bersama jawatankuasa RTG, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata kedua-dua individu berkenaan akan membantu mana-mana atlet terbabit menepati kriteria untuk layak ke Sukan Olimpik, sekali gus menjadi prospek meraih pingat pada temasya sukan berprestij itu. 

“Ia (kedua-dua penyelaras ini) adalah bagi membantu atlet-atlet tersebut untuk mempercepatkan proses kelayakan mereka (ke Olimpik). Namun kita menilai atas dua kriteria iaitu pemenang pingat di Sukan Olimpik sebelum ini dan atlet yang menduduki ranking 10 terbaik.

“Sebab itu kita di peringkat jawatankuasa tidak mengumumkan senarai nama atlet (ke Olimpik semalam) untuk memberi ruang kepada sekretariat dan penyerlaras mengenal pasti atlet tersebut dan seterusnya mempersembahkan kepada jawatankuasa (tertinggi) untuk kita teliti dan memberi kelulusan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis penyerahan tajaan daripada Matrix Concepts kepada pemain perseorangan wanita negara, S. Kisona, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, hari ini. 

Stuart merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) manakala Michelle adalah CEO ABM. 

Mohamad Norza, yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), berkata antara bantuan keperluan atlet yang bakal diberi tumpuan adalah sains sukan, persediaan atlet meliputi latihan harian, persediaan mental, pendedahan pertandingan dan khidmat jurulatih.

Beliau berkata Stuart dan Michelle juga akan membuat profil terperinci bagi atlet yang disenaraikan ke Sukan Olimpik untuk mengenal pasti keperluan atlet terbabit. 

Dalam pada itu, beliau berkata jaguh perseorangan Lee Zii Jia, yang kini berada di kedudukan keempat dunia, jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang, beregu lelaki badminton Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan ratu terjun, Datuk Pandelela Rinong, masing-masing hampir pasti berada dalam senarai projek RTG. 

Sementara itu, Mohamad Norza berkata Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Sains Sukan Nippon, Jepun, untuk membuka peluang perkongsian pengetahuan serta kepakaran berkaitan bidang teknologi sains sukan dan pendidikan jasmani sebagai salah satu cara untuk membantu atlet projek RTG. 

Beliau berkata jawatankuasa RTG dijadual ke Jepun, bulan depan, bagi mengenal pasti peluang kerjasama dengan universiti berkenaan dalam usaha Malaysia meraih pingat pada temasya Sukan Olimpik 2024.

-- BERNAMA