PEMBENTUKAN RTG TINDAKAN PROAKTIF, BERANI - PRESIDEN MOM

12/03/2023 06:12 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melihat pembentukan projek ‘Road To Gold’ (RTG) sebagai tindakan proaktif dan berani dalam menterjemahkan harapan rakyat untuk melihat Malaysia meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang turut dilantik sebagai pengerusi bersama jawatankuasa RTG, berkata perkembangan itu menyaksikan MOM akhirnya diberi peluang bekerjasama dengan kerajaan ke arah merealisasikan impian emas sulung Olimpik.

Katanya pembentukan projek RTG juga dapat mengelakkan sebarang implikasi buruk terhadap usaha dan program yang telah dirancang sekiranya berlaku perubahan tampuk kepimpinan kerajaan.

“Sebelum ini saya sentiasa mengatakan, setiap kali kita ada perubahan polisi atau perubahan kepimpinan di peringkat kerajaan, ia semacam memberi impak kepada perancangan kita dalam pelan jangka sederhana dan panjang.

“Sebab itu, projek RTG ialah tindakan untuk adakan jawatankuasa yang walaupun ada perubahan, kita yakin bahawa di peringkat menteri dan Presiden MOM ada di situ untuk meneruskan pelaksanaan program,” katanya pada sidang media projek RTG di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang merupakan pengerusi bersama jawatankuasa RTG mengumumkan pembentukan pasukan projek itu yang dianggap sebagai projek nasional dengan objektif untuk menyelaras usaha negara dalam memburu pingat emas sulung di Sukan Olimpik.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata pemenang pingat di Sukan Olimpik sebelum ini dan atlet yang menduduki ranking 10 terbaik dunia layak untuk berada dalam RTG.

Katanya dua pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 iaitu jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan beregu lelaki badminton Aaron Chia-Soh Wooi Yik masing-masing hampir pasti berada dalam projek tersebut.

Namun, menurut beliau proses mengenal pasti calon masih lagi di peringkat ‘pramatang’.

“Ia kerana kita belum melalui proses kelayakan Sukan Olimpik dan atlet akan dikenal pasti dalam kelompok yang berada dalam program Podium untuk kita angkat dan teliti apakah yang diperlukan untuk mereka capai kejayaan itu,” katanya.

Jawatankuasa RTG akan menyediakan rangka kerja jangka panjang meliputi Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

RTG akan memberi tumpuan kepada program persediaan atlet elit meliputi latihan harian, latihan di luar negara termasuk lebih pendedahan kepada pertandingan dalam dan luar negara, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri.

-- BERNAMA