KBS pergiat usaha pupuk belia dengan semangat perpaduan di media sosial - Yeoh

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (kanan) menyampaikan hadiah telefon pintar kepada Nurul Shauqina Najwa Muhamad (tengah) yang memenangi pertandingan TikTok Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Bangunan Parlimen hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim.
06/03/2023 08:30 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus melipatgandakan usaha untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan belia menerusi pelbagai program menarik di platform media sosial seperti TikTok.

Mengambil contoh projek rintis Pertandingan TikTok KBS yang bertemakan perpaduan, Menterinya Hannah Yeoh berkata inisiatif sedemikian merupakan antara inisiatif kementerian dalam usaha menerap dan menyemai semangat perpaduan, jati diri dan semangat patriotik dalam golongan belia.

"Kita akan terus mencari jalan kreatif untuk sampaikan mesej kepada belia. Saya rasa ini adalah percubaan yang bagus meskipun dalam tempoh masa yang singkat untuk kita promosikan projek perintis ini.

Kita mahu medan TikTok ini menjadi satu medan yang sihat untuk menghantar mesej jelas kepada golongan belia kita. Mesej sebegini juga lebih baik mereka dengar daripada generasi mereka sendiri erti perpaduan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan TikTok KBS di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Pertandingan anjuran KBS menerusi Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), berlangsung dari 1 hingga 31 Jan lepas khusus untuk belia berumur antara 15 hingga 30 tahun dan  pemenang dipilih berdasarkan video bertemakan perpaduan yang paling kreatif dan mempunyai persembahan menarik.

Pertandingan itu dimenangi usahawan belia Esli Thomas Belawan Ngau, 25, diikuti pelajar Universiti Malaysia Sarawak Mohamad Zul Hariz Mohd Fadzli, 20, di tempat kedua dan pelajar Kolej Matrikulasi Pahang, Nurul Syauqina Najwa Muhammad Sanusi, 20, di tempat ketiga.

 Kesemua mereka membawa pulang hadiah sebuah telefon pintar, iPhone 14 Pro.

-- BERNAMA