IZAT JANJI PERTARUNGAN SENGIT DI KL INTERNATIONAL FIGHT

KUALA LUMPUR, 2 Dis -- Atlet Muay Thai Malaysia Izat Zaki ketika ditemui pemberita pada sidang media sempena perlawanan Muay Thai Kuala Lumpur International Fight hari ini. Perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 dan 4 Disember ini.
02/12/2022 06:05 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Atlet muay thai negara Izat Zaki menjanjikan pertarungan sengit apabila turun berdepan Hicham Boulahri dari Maghribi di kejohanan muay thai Kuala Lumpur (KL) International Fight, Ahad ini.

Izat, 23, bertekad untuk menampilkan aksi terbaiknya pada pertarungan yang dijadualkan berlangsung di parking B Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Hicham merupakan seorang petinju Muay Thai yang hebat, beliau adalah seorang daripada rakan saya ketika berlatih di Bangkok beberapa tahun lepas. Ini adalah kali pertama kami berlawan, jadi tidak kira kawan,  dalam gelanggang kita akan berjuang untuk kemenangan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Ini merupakan pertarungan antarabangsa pertama beliau sejak pandemik COVID-19.

“Namun saya dah berlawan hampir 20 pertandingan domestik pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Hallo Fight Club Mohd Hazrul Mohd Sapri selaku penganjur KL International Fight berkata sebanyak 13 pertarungan menanti peminat sukan tempur pada esok dan Ahad.

Bercakap pada sidang media acara berkenaan, beliau berkata pertarungan Reza Behzad dari Iran menentang Kongklai Anny dari Thailand antara yang menjadi tumpuan buat peminat sukan muay thai negara.

Setiausaha Hallo Fight Club Mohd Faizul Mat Alewi pula berkata KL International Fight memperkenalkan konsep perlawanan secara terbuka pertama di Malaysia buat peminat merasai suasana baharu.

Beliau juga menjangkakan 6,000 hingga 10,000 peminat menyaksikan pertarungan jaguh seperti Sudsakorn Nor Klimnee dan Yod Pitee dari Thailand, Hossein Karami (Iran) dan Thomas Van Nijnatten (Perancis) bermula 8.30 malam dengan harga tiket bernilai RM30, RM50 dan RM150.

Menurutnya, pemenang akan menerima trofi serta hadiah wang tunai RM3,000 hingga RM60,000.

-- BERNAMA