28 atlet muay thai meriahkan KL International Fight

19/11/2022 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Sebanyak 28 atlet dari 10 negara bakal berentap pada kejohanan muay thai Kuala Lumpur (KL) International Fight di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 3 dan 4 Dis ini.

Menurut penganjur, acara mega yang pertama di Malaysia itu turut  menyaksikan barisan atlet muay thai terkemuka seperti Sudsakorn Nor Klimnee dan Yod Pitee dari Thailand, Izat Zaki (Malaysia), Hossein Karami (Iran) dan Thomas Van Nijnatten (Perancis) berentap dalam 14 pertarungan.

“Ini adalah platform terbesar buat atlet muay thai Malaysia dan juga negara lain untuk diiktiraf di peringkat antarabangsa dan bersaing dengan juara-juara dari negara lain,” katanya dalam kenyataan.

Menurut penganjur, selain muay thai, turut dianjurkan pelbagai aktiviti seperti e-sukan, vendor makanan dan persembahan artis sepanjang dua hari itu.

KL International Fight dianjurkan dengan kerjasama Persekutuan Persatuan Muaythai Antarabangsa, Majlis Muaythai Sedunia, Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara.

Tiket boleh diperoleh melalui ticket2u.com.my yang dijual pada harga RM38 hingga RM10,000.

-- BERNAMA