Taktikal Pearly-Thinaah cetus lembaran era baharu badminton negara - Kien Keat

Beregu wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah (Kredit: Persatuan Badminton Malaysia - BAM)
31/10/2022 02:44 PM

Oleh Farah Najihah Zuraimi

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Taktikal mantap seolah-olah menyerupai corak permainan pasangan lelaki diperagakan gandingan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah mampu mencatatkan lembaran era baharu dalam sukan badminton tanah air. 

Itu adalah reaksi bekas pemain badminton beregu lelaki negara, Koo Kien Keat selepas kemenangan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 yang menamatkan kemarau kejuaraan 113 tahun selepas mengungguli kejohanan badminton Terbuka Perancis yang berlangsung di Stade Pierre de Coubertine di Paris, malam semalam. 

Turun sebagai pasangan bukan pilihan kejohanan, Pearly-Thinaah berjaya menumbangkan pilihan keempat yang juga juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun 21-19, 18-21, 21-15 di pentas final itu, sekali gus menjadi beregu wanita Malaysia pertama merangkul gelaran Terbuka Perancis. 

"Saya rasa pasangan ini merupakan beregu wanita Malaysia pertama yang mempunyai kemahiran secara keseluruhan. Mereka (Pearly-Thinaah) punya taktikal dalam perlawanan dapat menyaksikan era baharu badminton beregu wanita di mana agak menyerupai taktikal beregu lelaki. 

“Kedua-duanya boleh bermain di belakang (penyerang) dan di hadapan sebab itu saya rasa pasangan ini cemerlang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Kien Keat berkata pujian harus diberikan kepada kebijaksaan barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengatur strategi dalam perjalanan pasangan wanita berkenaan sehingga mampu membina perwatakan bergelar 'sang juara' ketika di dalam gelanggang perlawanan. 

Beliau bagaimanapun berkata perjalanan beregu wanita yang masing-masing berusia 22 tahun (Pearly) dan 24 tahun (Thinaah) itu baharu sahaja bermula, iaitu lebih banyak pasangan dari negara lain akan mengkaji gerak-geri mereka selepas ini. 

Kien Keat juga mengingatkan, gandingan ke-11 terbaik dunia itu agar terus berusaha meningkatkan tahap keyakinan ketika beraksi dalam gelanggang tanpa mengira lawan yang akan dihadapi mereka.

“Bukan sahaja latihan, penetapan minda juga perlu betul contohnya kita boleh lihat pemain perseorangan Jepun Kento Momota yang kalah secara berterusan terus hilang keyakinan, hilang corak permainan sendiri. Jadi dari sekarang penetapan minda kena kekal positif dan saling percaya antara satu sama lain,” katanya. 

Katanya, beliau yakin pasangan berkenaan sudah matang dan lebih berpengalaman dalam menghadapi pertarungan di gelanggang seterusnya meraih lebih banyak kemenangan bertaraf antarabangsa. 

Untuk rekod, kemenangan itu ialah gelaran kedua dan kejayaan terbesar pasangan nombor 11 dunia itu dalam siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas menjuarai Terbuka Switzerland, Mac tahun lepas. 

Sebelum ini, bekas beregu wanita negara Wong Pei Tty-Chin Eei Hui muncul naib juara Terbuka Perancis pada 2008.

Terbuka Perancis ialah kejohanan acara Jelajah Dunia Super 750 BWF, kejohanan tahap tiga yang menawarkan hadiah bernilai US$49,950 (kira-kira RM235,000) bagi pemenang acara beregu dan US$23,625 (kira-kira RM111,000) bagi finalis, selain mata ranking BWF.

-- BERNAMA