Pearly-Thinaah mara ke perlawanan akhir Terbuka Perancis

M. Thinaah (kiri) dan Pearly Tan
29/10/2022 11:32 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Jaguh badminton beregu wanita Malaysia Pearly Tan-M.Thinaah melangkah gagah menghampiri kejayaan terbesar mereka dalam siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), selepas berjaya mara ke perlawanan akhir Terbuka Perancis 2022 hari ini.

Juara Sukan Komanwel 2022 itu berjaya menundukkan pasangan baharu dari Korea Selatan Baek Ha Na-Lee So Hee dengan 21-13, 21-17 dalam saingan peringkat separuh akhir di Stadium Stade Pierre de Coubertin, Paris.

So Hee, bersama regunya sebelum ini Shin Seung Chan, merupakan pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2021, dan mencapai ranking sebagai pasangan nombor dua dunia.

Esok, pasangan negara yang berada di kedudukan ke-11 dunia itu, akan berhadapan dengan pasangan nombor tujuh dunia Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun.

Ia merupakan pertemuan pertama Pearly-Thinaah dengan pasangan dari Jepun itu, yang terdahulu menumpaskan pasangan senegara Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 21-14, 25-23 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Sebelum ini Pearly-Thinaah mengejutkan pasangan nombor tiga dunia dari Jepun, Chiharu Shida-Nami Matsuyama dengan 15-21, 21-14, 21-14 dalam saingan peringkat suku akhir, Jumaat.

Kejayaan terbesar mereka dalam siri Jelajah BWF adalah memenangi Terbuka Swiss 2021, kejohanan Super 300 pada bulan Mac tahun lepas, membawa pulang hadiah kemenangan bernilai US$11,060 (kira-kira RM52,000).

Terbuka Perancis merupakan kejohanan BWF World Tour Super 750 event, kejohanan tahap tiga yang menawarkan hadiah bernilai US$49,950 (kira-kira RM235,000) bagi pemenangan acara beregu dan US$23,625 (kira-kira RM111,000) bagi finalis, selain mata ranking BWF.

-- BERNAMA