Sukma: Letshanaa kembali mengorak langkah ke pentas dunia

20/09/2022 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Bekas pemain badminton perseorangan wanita negara yang dilupakan, K. Lethsanaan, akhirnya kembali beraksi secara kompetitif selepas bertarung dengan masalah kecederaan selama sembilan bulan.

Pemain berusia 19 tahun itu, yang keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), awal tahun ini berikutan masalah kecederaan bahagian belakang, kembali semula ke gelanggang apabila mudah melepasi pusingan pertama temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20.

Wakil Selangor itu hanya mengambil masa 19 minit untuk menumpaskan pemain Kelantan, Yeap Phoi Lin, 21-2, 21-13 di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, sebelum berdepan dengan wakil Wilayah Persekutuan, Dyvylyn Saha Davincy Saha pada pusingan kedua.

Selepas perlawanan pembukaan itu, Letshanaan, yang merangkul gelaran juara kebangsaan bawah 18 tahun ketika berusia 14 tahun pada 2017, memberitahu pemberita bahawa sasaran utama beliau adalah membuat penampilan di Sukan Olimpik Los Angeles pada 2028.

Sebenarnya saya berasa sangat gembira untuk kembali semula ke gelanggang...merasai persekitaran kejohanan dan memperoleh keyakinan untuk aksi kompetitif.

“Kecederaan itu benar-benar mengambil masa yang sangat lama untuk pulih, tetapi kini saya berasa lebih baik secara menyeluruh,” katanya yang menyasarkan pingat emas temasya itu selepas tersingkir pada pusingan ke-16 pada edisi lepas pada 2018 di Perak.

Menurut pemain ranking dunia ke-498 itu, memenangi kejuaraan Sukma  adalah penting untuk menyambung semula karier antarabangsanya selepas ramai menganggap beliau tidak lagi bermain selepas keluar daripada BAM.

Letshanaa mengalami kecederaan sebelum penampilan sulung di Piala Uber, Aarhus, Denmark, Oktober tahun lalu dan kejophanan antarabangsa terakhirnya ialah mara ke suku akhir Terbuka Republik Czech dari 21 hingga 24 Okt tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, jika di beri peluang, beliau bersedia kembali menyertai skuad negara.

Buat masa ini, Letshanaa, mengikuti latihan di bawah ayahnya,  A. Karupathevan dan abang K. Jhotiswaran,dan akan menyertai dua kejohanan di Australia dan New Zealand, bulan depan.

Pada masa ini dengan pembiayaan sendiri, beliau sedang mencari penajaan dan pembiayaan orang ramai untuk kejohanan akan datang kerana menyasarkan penyertaan antara 10 hingga 14 kejohanan setahun untuk meningkat dalam ranking dunia.

“Kedudukan terbaik saya adalah pada usia 16 tahun, ketika saya berada di kedudukan 185 di dunia (pada 2019), sebelum menjunam bawah 700 semasa pandemik COVID-19 Saya perlu bermain lebih banyak kejohanan untuk menembusi kelompok 100 peman teratas dunia,” katanya.

-- BERNAMA