BAM jalin kerjasama dengan Thailand dalam usaha lahir jaguh Olimpik 2024 dan Piala Thomas

Kredit: Persatuan Badminton Malaysia (BAM)
11/09/2022 08:16 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM)  menjalinkan kerjasama strategik dengan Thailand dalam usaha mengejar misi emas pertama Sukan Olimpik di Paris pada 2024 serta merangkul Piala Thomas pada tahun tersebut.

BAM mengorak langkah proaktif ke arah mencapai misi tersebut apabila menandatangani memorandum persefahaman (MoU) hari ini dengan Persatuan Badminton Thailand (BAT) berkuat kuasa 2022 hingga 2024.

BAM menyifatkan MoU itu merupakan situasi menang-menang kerana kedua-dua pihak mempunyai cita-cita yang sama untuk menjadi kuasa dominan dalam dunia badminton termasuk meraih pingat emas di Sukan Olimpik.

Kredit: Persatuan Badminton Malaysia (BAM)

Menurut kenyataan BAM hari ini, perjanjian itu akan bertindak sebagai platform kepada hubungan strategik dan erat dalam pelbagai aspek termasuk sains sukan, latihan pemain, perkongsian kepakaran oleh jurulatih dan pegawai pasukan.

Sementara itu, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata majlis itu adalah detik penting bagi pembangunan sukan badminton di negara ini serta bersedia ke arah mencapai objektik utama negara merangkul emas di Sukan Olimpik Paris 2024 dan Piala Thomas di China pada tahun tersebut.

Justeru, Mohamad Norza merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden Presiden BAT, Khunying Patama Leeswadtrakul, atas pakatan strategik dan berharap hubungan tersebut akan memberi manfaat kepada kedua-dua persatuan tersebut.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad negara menang Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA