Myisha idam emas sulung pada penampilan terakhir di Sukma

Myisha Mohd Khairul
11/09/2022 03:24 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Selepas menjuarai Siri Antarabangsa Belanda pada April lepas, pemain muda perseorangan wanita negara, Myisha Mohd Khairul kini mempunyai satu lagi misi penting sebelum mengakhiri musim 2022 dengan nota cemerlang.

Myisha, yang pernah mewakili negara pada Piala Uber 2022 di Bangkok, Thailand, Mei lepas, memasang impian untuk menghadiahkan emas buat Johor pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 MSN 2022 pada 16 hingga 24 Sept ini.

“Biarpun pernah bermain pada edisi 2016 dan 2018, saya tak pernah menang emas di Sukma.

“Pencapaian terbaik saya hanya pada 2018 di Ipoh, dan saya tersingkir pada pusingan kedua di tangan pemain beregu wanita negara, M. Thinaah yang bermain untuk Selangor dalam kategori perseorangan wanita ketika itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Justeru, pemain berusia 20 tahun itu berkata beliau sedang gigih memantapkan persiapannya pada sesi latihan ketika ini dalam usaha meraih emas pertama dan terakhir pada temasya sukan itu.

Pemain yang menduduki ranking 201 dunia itu juga enggan memandang enteng cabaran daripada wakil negeri lain khususnya pemain kelahiran Selangor, K. Letshanaa.

“Pencabar terdekat banyak macam Letshanaa yang baru keluar sebagai pemain kebangsaan, kita tak tahu bagaimana cara dia serta pemain lain berlatih, jadi tak boleh terlalu yakin dan harap dapat berikan yang terbaik,” jelasnya.

Letshanaa yang pernah bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan meninggalkan badan induk itu susulan kecederaan belakang dialami pada Februari lepas.

Dalam pada itu, Myisha memaklumkan beliau berkemungkinan menyertai sebuah siri antarabangsa yang bakal diadakan di Perak, pada November ini.

-- BERNAMA