Kini anda boleh bermain badminton, futsal di IOI City Mall

25/08/2022 06:08 PM

PUTRAJAYA, 25 Ogos (Bernama) -- Peminat sukan badminton dan futsal yang mengalami masalah menempah gelanggang di lokasi yang sesuai, kini mempunyai alternatif apabila Pusat Sukan IOI dibuka secara rasmi di IOI City Mall di sini.

Selain terletak di lokasi strategik di dalam sebuah kompleks beli-belah, pemain badminton tanpa mengira tahap mereka, akan dapat mengasah kemahiran bersama legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek dengan pembukaan Akademi Badminton Rashid Sidek.

IOI City Mall bekerjasama dengan Kelab Badminton Rashid Sidek (KBRS) untuk mewujudkan sebuah akademi milik bekas pemain badminton negara di pusat beli-belah itu. 

Rashid yang juga Pengasas dan Presiden KBRS yang ditugaskan sebagai ketua jurulatih dan pengarah program latihan, akan menyelia pasukan jurulatih yang berkelayakan tinggi dan berpengalaman untuk akademi itu.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Atlanta pada 1996 dan juara Piala Thomas 1992 itu berkata beliau ingin berkongsi kepakaran dan kemahirannya dalam sukan berkenaan dengan generasi muda, bermula seawal usia lima tahun pada peringkat profesional melalui akademi itu.

“Malaysia secara konsisten telah melahirkan pemain badminton berkelas dunia yang membawa kebanggaan kepada negara, dengan ramai lagi masih menunggu untuk diasah bakatnya. Saya amat gembira kerana IOI Properties Group telah membina kemudahan badminton berkelas dunia ini dan pusat sukan ini akan menjadi platform untuk membangunkan bakat baharu dan sedia ada.

“Pemain elit sedia ada juga boleh menggunakan pusat ini sebagai medan latihan mereka untuk lebih cemerlang dalam dunia badminton yang kompetitif,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pusat sukan itu bersama Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties Group Bhd Datuk Voon Tin Yow hari ini.

Sementara itu, Voon berkata pusat sukan berkenaan terdiri daripada 15 gelanggang badminton dan dua gelanggang mini futsal yang boleh digabung menjadi sebuah arena futsal atau ruang acara, bagi memenuhi permintaan gelanggang badminton di kawasan Lembah Klang Selatan.

“Badminton ialah sukan yang menyatukan rakyat Malaysia dan pusat beli-belah ini akan menjadi lebih daripada sekadar destinasi untuk membeli-belah dan menjamu selera. Kami berharap kemudahan berkelas dunia yang dibina ini mampu menjadi tuan rumah kejohanan dan acara badminton peringkat kebangsaan pada masa hadapan.

“Kemudahan sukan ini terletak dalam fasa kedua IOI City Mall yang turut mempunyai potensi untuk menawan pasaran antarabangsa dan tempatan, sekali gus dapat meletakkan Putrajaya dalam peta dunia,” katanya.

Gelanggang itu akan beroperasi dari 10 pagi hingga 11 malam setiap hari dengan kadar sewa sebanyak RM25 sejam (10 pagi hingga 6 petang) dan RM35 sejam (6 petang hingga 11 malam) untuk badminton manakala futsal akan dikenakan sewa RM100 sejam (10 pagi hingga 6 petang) dan RM130 sejam (6 petang hingga 11 malam).

Mereka yang berminat untuk menyertai Akademi Badminton Rashid Sidek boleh memilih sesi sama ada secara persendirian, separa persendirian atau berkumpulan dengan yuran antara RM80 untuk satu sesi hingga RM280 bagi empat sesi, manakala yuran pendaftaran sekali bayar sebanyak RM50. Diskaun sebanyak 20 peratus untuk pendaftar terawal boleh didapati hingga 30 Sept.

IOI City Mall kini menjadi pusat beli-belah terbesar di Malaysia dengan pembukaan fasa kedua, merangkumi keseluruhan kawasan seluas 2.5 juta kaki persegi yang terdiri daripada kemudahan sukan, riadah dan lain-lain.

-- BERNAMA