INDIA MUNCUL JUARA PIALA THOMAS 2022

Pemain Badminton Beregu India Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty meraikan kejayaan selepas menang menentang pemain dari Indonesia Mohammad Ahsan dan Kevin Sanjaya Sukamuljo pada perlawanan Akhir Kejohanan Piala Thomas di Stadium Impact Arena Bangkok hari ini.
15/05/2022 07:56 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 15 Mei (Bernama) -- Pengakhiran yang mengagumkan buat India apabila muncul juara Piala Thomas edisi 2022 selepas menewaskan juara bertahan Indonesia 3-0 dalam perlawanan akhir berlangsung di Impact Arena hari ini.

Pemain perseorangan utama India Lakshya Sen melunaskan tugas dengan baik apabila menyumbang mata pertama selepas menewaskan lawannya Anthony Sinisuka Ginting dalam perlawanan berlangsung hingga set penentuan.

Pemain Badminton India, Lakshya Sen semasa membalas hantaran lawannya dari Indonesia Anthony Sinisuka Ginting pada perlawanan Akhir Kejohanan Piala Thomas di Stadium Impact Arena Bangkok hari ini. Lakshya Sen menang dengan keputusan 8-21, 21-17, 21-16.

Pemain di ranking kesembilan dunia yang tewas pada set pertama dengan 21-8, bangkit mengecewakan pemain di ranking kelima dari Indonesia itu 21-17, 21-16 sekali gus meletakkan pasukan India di hadapan dengan 1-0.

Beregu utama Indonesia Mohammad Ahsan-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang menampakkan sinar apabila menang set pertama 21-18, bagaimanapun terpaksa akur apabila tumbang pada set berikutnya kepada Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Satwiksairaj-Chirag ternyata bersemangat apabila berjaya mengubah kedudukan dengan memenangi dua set berikutnya 23-21, 21-19, dalam perlawanan sengit yang berlangsung selama 73 minit untuk mengukuhkan kedudukan pasukan India.

Srikanth Kidambi yang turun selaku perseorangan kedua ternyata tidak mensia-siakan prestasi terbaik dipamerkan oleh Lakhsya dan gandingan Satwiksairaj-Chirag, untuk berdepan lawannya Jonatan Christie dalam perlawanan terakhir.

Pemain kelahiran Guntur berusia 29 tahun itu menguasai set pertama dengan 21-15 sebelum mengesahkan kemenangan dengan 23-21 untuk menobatkan India sebagai juara baharu Piala Thomas kali ini.

Srikanth ketika ditemui pemberita selepas aksi final itu ternyata sangat gembira apabila semua memainkan peranan mereka dengan baik bagi memastikan India muncul juara hari ini.

“Saya sangat gembira melihat rakan sepasukan berjaya menewaskan Indonesia dan meraih kejuaraan pertama kami hari ini,” katanya.

Lakshya menempuh pelbagai cabaran termasuk mengalami keracunan makanan menjelang kejohanan itu yang menjejaskan prestasinya menjelang final, mengakui dia tidak pernah menyangka India berjaya sampai sejauh ini.

“Kehadiran bapa saya di stadium benar-benar mendorong saya untuk menyumbang mata pertama buat India,” katanya.

Rentak cemerlang India bermula selepas memenangi dua perlawanan menentang Jerman dan Kanada masing-masing 5-0 sebelum tewas 2-3 kepada Taiwan dalam saingan peringkat Kumpulan C.

India meneruskan penguasaan apabila menewaskan Malaysia 3-2 pada suku akhir dan mengejutkan juara 2016, Denmark juga 3-2 di separuh akhir sebelum dinobatkan sebagai juara kejohanan badminton berpasukan berprestij itu.

India kini menyertai Indonesia, China, Malaysia, Denmark dan Jepun sebagai negara yang telah mengecap kejayaan dalam Piala Thomas sejak diperkenalkan pada 1949.

-- BERNAMA