CORAT-CORET PIALA THOMAS/UBER DARI BANGKOK

14/05/2022 05:11 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 14 Mei (Bernama) -- Berikut corat-coret pusingan akhir Piala Thomas dan Uber 2022 yang berlangsung dari 8 hingga 15 Mei di Impact Arena, Nonthaburi, terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari pusat bandar, di sini:

 

BIDADARI THEVA ‘LAKU KERAS’

-------------------------------------------------

 

Rantai kunci maskot rasmi pusingan akhir Piala Thomas dan Uber 2022 dikenali sebagai ‘Theva’ mencuri tumpuan para pengunjung yang berminat membeli barangan rasmi kejohanan.

Menurut penjual di Impact Arena, Ketsopon Burana, maskot bidadari yang diinspirasikan dari kisah Ramayana itu berharga 169 baht (kira-kira RM21) dan mampu dijual 100 unit sehari sejak hari pertama kejohanan pada 8 Mei.

Katanya, barangan lain yang dijual oleh penganjur adalah kemeja-T berharga 589 baht (RM75) serta patung permainan Theva yang boleh didapati dengan harga 299 baht (RM38) seunit.

 

 

IMPACT ARENA ‘SYURGA MAKANAN’

-----------------------------------------------------

 

Pengunjung yang lapar ketika berada di Impact Arena tidak perlu risau untuk mendapatkan makanan kerana banyak pilihan boleh didapati untuk mengisi perut di sini.

Selain kafe milik pengusaha tempatan, beberapa premis termasuk restoran makanan segera terkemuka turut menjalankan operasi di sini.

Kesemua premis makanan itu hanya dibuka sekiranya terdapat kejohanan sukan ataupun acara hiburan termasuk konsert di venue yang boleh memuatkan kira-kira 11,000 penonton pada satu-satu masa.

 

PERANG POSTER TAKLUK BANGKOK

--------------------------------------------------------

 

Selain kembali hidup dengan kehadiran pelancong luar, Bangkok juga meriah dengan perang poster calon pilihan raya Gabenor Bangkok yang bakal diadakan pada 22 Mei ini.

Menariknya, poster yang digantung di sekitar bandar raya itu menampilkan corak rekaan yang segar serta tawaran menarik bagi memikat hati pengundi.

Kali terakhir pilihan raya Gabenor Bangkok diadakan adalah sebelum rampasan kuasa tentera pada tahun 2014.

-- BERNAMA